AMINUDDIN BAKI ~ Modal tokoh pendidik


(Sumber: Utusan Malaysia, 25 Disember 2006, pg10)

Oleh: MOHD ARIF ATAN

SEMALAM genap 42 tahun Allahyarham Aminuddin Baki yang dianggap sebagai arkitek pendidikan kebangsaan meninggalkan kita buat selama-lamanya. Namun, adakah wajar semangat pelopor pendidikan kebangsaan ini dibiarkan terperosok dalam lipatan sejarah tanpa kesungguhan kita untuk menghayati dan mengukuhkan usaha yang telah dilakukannya?

Pemergian beliau dalam usia 39 tahun itu merupakan satu kehilangan yang besar bagi bangsa Malaysia. Malah, Ungku Aziz berpendapat, Aminuddin Baki dijangka memberi impak yang hebat dalam negara ini jika beliau masih hidup selepas Tragedi 13 Mei.

Aminuddin Baki yang telah dilahirkan pada 26 Julai 1926 di Chemor, Perak adalah tokoh pendidikan terulung yang memiliki iltizam tinggi dalam memperjuangkan pendidikan berkualiti di kalangan anak-anak Melayu. Beliau yakin bahawa pendidikanlah pelaburan penting bangsa Melayu bagi mencapai kemajuan.

Beliau juga dikatakan pelopor kepada penulisan esei kritikan yang lantang dan berani. Terdapat sebuah catatannya bertulisan jawi yang menggambarkan sikap dan perjuangannya dalam memperjuangkan nasib bangsa Melayu. Catatan tersebut yang masih tersimpan di Arkib Negara diberi tajuk ’Anak Kandung, Anak Angkat’ mungkin novel yang akan dikarangnya. Beliau ingin menyedarkan masyarakat Melayu supaya menjaga hak dan harta pusaka yang dimiliki agar tidak tergadai di tangan penjajah dan kaum pendatang.

Aminuddin Baki bukan sekadar pendidik malah birokrat dan perancang yang memiliki semangat nasionalis yang tinggi. Pejuang Melayu tulen ini banyak memberi sumbangan dalam sistem pendidikan kebangsaan dengan mempelopori pelbagai aspek pendidikan negara seperti kurikulum, bahasa pengantar, pentadbiran dan Falsafah Pendidikan Negara.

Tidak hairanlah, Aminuddin Baki dikenal sebagai ‘ensiklopedia bergerak’ kerana pelbagai perkara berkaitan pendidikan seperti latihan perguruan, sistem pelajaran, biasiswa, perpustakaan, pendidikan teknik dan sebagainya berada di dalam pengetahuannya. Beliau sememangnya memiliki pengalaman, minat dan kesungguhan dalam menyediakan tapak kepada sistem pendidikan kebangsaan.

Beliau mencipta sejarah tersendiri apabila dalam usia 36 tahun telah menjadi pegawai termuda untuk jawatan Ketua Penasihat Pelajaran yang merupakan jawatan tertinggi dalam bidang pendidikan tanah air. Ternyata, Aminuddin Baki tidak mensia-siakan kepercayaan yang telah diberikan oleh Tun Abdul Razak yang ketika itu merupakan Menteri Pelajaran.

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) terbina atas usahanya.

Bersama-sama Abdullah Ayob, mereka mengasaskan GPMS di Universiti Malaya Singapura sebagai wahana pencetus kesedaran kepada pentingnya pendidikan di kalangan bangsa Melayu. GPMS sering mengingatkan ibu bapa Melayu ketika itu supaya mengambil berat pendidikan anak-anak. Orang Melayu yang berpelajaran tinggi pula digesa menumpukan perkhidmatan dalam bidang pendidikan.

Aminuddin Baki menyedari kedudukan anak-anak Melayu dalam bidang pelajaran masih jauh terkebelakang kerana peluang pendidikan yang amat terhad. Ketika itu, belum wujud lagi sekolah menengah Melayu dan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah. Sebahagian besar sekolah Melayu cuma menawarkan tempat sehingga Darjah Lima. Hanya mereka yang tamat Darjah Enam akan diserap menjadi guru pelatih sekolah Melayu.

Lantaran bimbang dengan pengaruh agama Kristian, tidak ramai ibu bapa menghantar anak mereka ke sekolah Inggeris. Sekolah Inggeris kerajaan juga masih sedikit bilangannya.

Oleh itu, demi memenuhi matlamat perjuangan GPMS, Aminuddin Baki memilih untuk terus menjadi tenaga pengajar di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) walaupun memiliki kelayakan yang membolehkannya menduduki jawatan yang lebih besar.

Beliau menyedari penglibatan menyeluruh dan kejayaan anak bangsanya dalam pelajaran bergantung kepada pelaksanaan sistem pendidikan kebangsaan. Oleh itu, sekolah kebangsaan (SK) yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar perlu diwujudkan. Selain demi kelangsungan pendidikan anak-anak Melayu, beliau juga menyedari sistem pendidikan kebangsaan adalah alat bagi mencapai perpaduan kaum.

Iltizam dan kesungguhan perjuangan mengangkat martabat pendidikan kebangsaan yang telah dirintis oleh Aminuddin Baki harus dijadikan pedoman dan terus digilap oleh generasi kini. Penggubal dasar, golongan pentadbir pendidikan dan para pendidik sehinggalah para pelajar, ibu bapa dan masyarakat keseluruhannya bertanggungjawab melaksanakan amanah dalam memantapkan sistem pendidikan kebangsaan.

Pemerkasaan sekolah kebangsaan, penekanan kecemerlangan pendidikan di kalangan anak-anak Melayu serta pengukuhan kembali fungsi bahasa kebangsaan dalam sistem pendidikan tanah air haruslah tidak dipinggirkan atas alasan tumpuan menghadapi arus globalisasi.

Arus globalisasi bukannya penghalang untuk kita memperkasakan pendidikan kebangsaan. Sebaliknya, manfaat yang ada daripada dunia tanpa sempadan itu dijadikan alat bagi mencapai matlamat tersebut. Oleh itu, tekad dan kesungguhan politik di kalangan pemimpin kini terutama UMNO amat diperlukan.

Pendidikan kebangsaan menyediakan asas yang kukuh bagi kelangsungan jati diri bangsa Malaysia. Aspek tersebut perlu diberi penekanan jika kita mahu muncul sebagai pemain global bukan sekadar hanya tahu menerima dan menggunakan apa sahaja lambakan nilai globalisasi.

Hakikatnya, kita memerlukan lebih ramai insan seperti Aminuddin Baki bagi menjayakan matlamat pengukuhan dan penstrukturan semula sistem pendidikan kebangsaan. Diharapkan obor perjuangannya tidak malap dan padam ditiup oleh pihak yang pasrah dan taksub dengan fahaman globalisasi dan liberalisasi.

- MOHD ARIF ATAN ialah pelajar Jabatan Sosiobudaya Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM).

Tags:

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment