Pencerobohan Pasir Bukit Changgang: Keselamatan Penduduk Terancam, Sumber Rezeki Terjejas



Bukan sahaja wujud kegiatan melombong, malah kemunculan terlalu banyak lori mengangkut pasir juga menyebabkan keselamatan penduduk terutama kanak-kanak terancam kerana kenderaan itu kadang kala dipandu secara melulu.

Kerisauan penduduk kampung Bukit Changgang, Dengkil ini ada asasnya apabila sekumpulan media melawat Bukit Channggang bersama Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo untuk menyaksikan sendiri kegiatan melombong pasir di Selangor yang dikatakan semakin tidak terkawal apabila 20 hektar tanah yang terletak kira-kira 50 meter dari taman rekreasi Paya Indah Wetlands di Dengkil diceroboh untuk mendapatkan hasil tersebut.

Tinjauan mendapati kawasan melombong pasir itu terletak hanya 50 meter dari Taman Paya Indah Wetlands. Malah, kawasan seluas 120 hektar sudah dikorek sedalam hampir 30 meter, tetapi 11 jengkaut dan lima lori menghentikan operasi selepas menyedari pihak media meninjau tempat berkenaan.

Aktiviti yang dipercayai di atas tanah milik kerajaan hingga mengancam tasik dan habitat dalam taman yang diwartakan sebagai Rizab Tanah Lembap Negara itu berlangsung sejak dua minggu lalu dan dikatakan 10 juta tan metrik pasir dianggarkan bernilai RM220 juta sudah dikorek. Dipercayai ia bukan satu-satunya kawasan tanah milik kerajaan yang diceroboh.

Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo melahirkan perasaan kesal dengan kegiatan itu dan mendesak kerajaan negeri berbuat sesuatu bagi menyelamatkan kawasan rekreasi itu. Beliau bimbang jika kegiatan tersebut tidak dihentikan, tanah di Selangor akan dipenuhi lubang yang sukar dipulihkan.

Beliau khuatir ekosistem kawasan yang menjadi habitat unggas dan haiwan liar itu akan terganggu dan tapak rekreasi yang menjadi salah satu produk pelancongan di Selangor akan musnah kerana kerakusan kegiatan melombong pasir.

''Saya hairan mana perginya Exco Alam Sekitar, Selangor, Elizabeth Wong dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang selama ini mempertahankan alam sekitar? Jika dibiarkan, saya bimbang lebih banyak lombong akan dikorek dan kawasan Paya Indah Wetlands hanya tinggal nama," katanya yang turut ditemani Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Bharu, Wong Koon Moon dan ADUN Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah.

''Saya minta kerajaan negeri jangan tutup mata terhadap perkara ini kerana kegiatan mengorek pasir tanpa kawalan nampaknya tidak menguntungkan kerajaan negeri dan rakyat," katanya.

Pengerusi belia kampung itu, Bahaman Ahmad Jiman, 39, pula berkata operasi mengaut pasir di kawasan berkenaan juga mengancam ternakan ikan talapia dan keli yang diusahakan persatuan belia di situ.

'Kawasan lombong bersebelahan tanah yang dikorek merupakan pusat menternak ikan tilapia, keli dan baung oleh pertubuhan belia di sini. Kawasan itu telah tercemar kerana aktiviti mencuci pasir menyebabkan minyak masuk ke kolam ternakan menjadi kotor dan pembesaran ikan terbantut.

''Peluang untuk melihat pelbagai jenis unggas singgah di kawasan rekreasi ini juga sudah tertutup kerana ekosistem di sini sudah diganggu. Kami akan kerugian jika keadaan ini dibiarkan berterusan”.

Semasa tiba di kawasan tersebut kira-kira pukul 12.30 tengah hari ini, kumpulan pemberita yang dibawa oleh Mohamad Khir mendapati kawasan yang diceroboh lenggang dan tiada aktiviti melombong dijalankan.

Beberapa pekerja lombong yang sedang berehat di sebuah pondok yang dibina di kawasan bukit berhampiran tidak memberikan sebarang reaksi semasa ditemui pemberita.

Bagaimanapun, dua kenderaan pacuan empat roda yang membawa beberapa ekor anjing dipercayai tonto kepada kontraktor pasir melihat dari jauh gerak geri kumpulan pemberita.

Tags:

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment