Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata
pakatan pembangkang tidak perlu diberi "tempoh lanjutan" untuk terus memerintah
Selangor yang menyaksikan banyak janjinya tidak tertunai malah membebankan rakyat
dengan pelbagai masalah.
Perdana Menteri berkata Selangor selama ini
maju kerana dasar-dasar dan prasarana yang dilaksanakan kerajaan BN sebelum ini,
dan pihak pembangkang tidak boleh mendapatkan pujian terhadap hasil titik peluh
BN itu.
"Kita akui mungkin kita ada buat sedikit
sebanyak kesilapan pada masa dulu sebab itu rakyat tidak menyokong kita. Tapi
kita sudah insaf daripada kesilapan dulu dan kita mohon maaf kepada rakyat
Selangor kalau ada apa-apa kesilapan.
"Dan kita berikrar daripada kesilapan
itu, atas kesedaran itu, kita akan bangunkan satu kekuatan baru untuk mengubah
landskap di Selangor supaya di bawah kepimpinan BN, kita akan menjurus kepada
masa depan yang lebih baik lagi," katanya pada majlis pelancaran jentera
pilihan raya BN Selangor di sini.
Dalam ucapan selama setengah jam itu, Najib
yang juga Pengerusi BN Selangor berkata sejak dua minggu lepas, beliau telah
turun padang ke Perak, Melaka, Kedah dan hari ini di Selangor, dan mendapati
suasana dalam negara kini menjurus menyokong BN pada pilihan raya umum kelak.
Hujan lebat yang turun sebelum ketibaan Perdana
Menteri pada kira-kira 5 petang tidak mematahkan semangat penyokong BN yang
hadir untuk terus berada di lokasi majlis bagi mendengar amanat Najib yang
membuat lawatan sehari ke Selangor hari ini.
Sambil memanggil hadirin yang membanjiri majlis
itu sebagai 'bala tentera BN Selangor', Najib berkata BN boleh merampas kembali
Selangor jika bilangan bala tentera itu lebih ramai, lebih berani, pintar dan
nekad serta sanggup bekerja lebih keras daripada pihak lain.
"Semangat dah ada, matlamat sudah dapat
dilihat, perancangan sudah ada... semuanya sudah lengkap... ayuh kita turun
berjuang habis-habisan," kata Najib dengan penuh bersemangat sambil
disambut sorakan gemuruh.
Najib berkata anggota BN perlu akur dengan
pucuk pimpinan dalam soal pemilihan calon dan memberi sokongan penuh kepada
mereka yang dipilih untuk bertanding pada pilihan raya nanti.
"Jangan sabotaj parti kita sendiri sebab
jika kita sabotaj parti, ibarat kita menjaringkan gol sendiri dan bila jaring
gol sendiri kita akan kalah dan seterusnya kita akan merana," tegas
Perdana Menteri.
"Sudah cukup empat tahun Selangor di
bawah pakatan pembangkang, jangan kita bagi tempoh lanjutan sebab kalau bagi
tempoh lanjutan nanti susah nak dapat balik. Inilah peluang terbaik untuk
mengembalikan bumi Selangor kepada BN," katanya.
Najib mengingatkan calon-calon BN supaya menjaga
kepentingan semua kaum dan bukan hanya kaum tertentu kerana ini menjadi asas
dalam memastikan kemenangan BN.
Katanya semangat BN menjadi pudar kerana
terkena tsunami politik pada pilihan raya umum lepas.
"Tetapi dalam tempoh empat tahun kita telah
bina semula jentera BN di Selangor sedikit demi sedikit, semangat kita yang
pudar itu, moral kita yang luntur itu hari ini telah bertukar wajah,"
katanya.



0 Komen
Post a Comment